KOLEJ VOKASIONAL BETONG, SARAWAK

" KECEMERLANGAN, BERTEKNOLOGI, BERWAWASAN "

Sejarah KV Betong

Sebelum pembukaan tapak SMV BETONG, tapak asal sekolah merupakan sebuah hutan tebal yang dikenali sebagai Bukit Bangat. Kerajaan telah memilih tempat ini untuk dijadikan sebagai tapak sekolah. Pada mulanya sekolah ini telah dikenali sebagai SM Vokasional Betong. Ia telah dirasmikan oleh yang amat berhormat Tun Dr. Mathathir Mohammad, bekas perdana menteri Malaysia pada 13 September 1991. Pada tahun 1999 beliau sekali lagi telah merasmikan sekolah ini sebagai SM Teknik Betong. Bagaimanapun sekolah ini mengalami perubahan nama sekali lagi pada tahun 2010 dan dikenali semula sebagai SEKOLAH MENENGAH VOKASIONAL BETONG

Pada awal tahun 1990-an, pembangunannya tidaklah lengkap seperti hari ini. Banyak kekurangan yang terpaksa dilalui oleh guru dan pelajar. Kemudahan elektrik terpaksa menggunakan sumber tenaga generator. Kemudian perubahan telah mula menyinar pada wajah SMV Betong pada pertengahan tahun 90-an. Banyak pembangunan dan kemudahan telah dibina di kawasan sekolah. Bahkan pertambahan bilangan guru, kakitangan dan pelajar juga ketara. Pada tahun 1997, projek menaikkan taraf sekolah bermula dan beberapa blok baru dibina, iaitu blok pengajian kejuruteraan, blok kelas kejuruteraan, makmal sains, makmal lukisan kejuruteraan, dua blok asrama lekaki dan perempuan, dewan perdana, surau, makmal komputer dan laluan pejalan kaki di sekitar kawasan sekolah. Projek ini siap pada tahun 1999.

Seiring dengan kepesatan pembangunan ekonomi negara, SMV Betong juga mengalami banyak perubahan. Ramai anak-anak jati sekitar kawasan Betong telah menuntut ilmu di SMV Betong. Bilangan guru dan kakitangan sokongan yang ditugaskan berkhidmat di SMV Betong juga semakin bertambah. Perubahan ini adalah hasil daripada usaha pengetua-pengetua sejak penubuhan sekolah ini. Contohnya, dibawah pentadbiran pengetua, Encik Abul Munap bin Shaikh Abdul Kadir (1984-1985), En. Hamidon bin Abdul Hamid (1986-1988), En Ang Saik Choon (1988), Encik Abdul Munap bin Sheikh Abdul Kadir (1988-1991), Pn. Mary Ranggau (1992-1993), En Ng Fook Yin (1994), En Alexander Juing Rimok (1995-1996), En Kuso Anak Jantan (1996-2006), Encik Abul Munap bin Sheikh Abdul Kadir (2006-2008) dan En Ng Fook Yin yang merupakan pengetua terbaru sekolah ini. Di bawah kepimpinan semua pengetua di sekolah ini, SMV Betong telah mencapai banyak kejayaan dalam bidang akademik, kokurikulum dan pelbagai acara-acara lain, baik di peringkat bahagian, negeri mahupun kebangsaan seiring dengan zaman alaf baru. Semoga SMV Betong dapat memperkukuhkan lagi kedudukannya sebagai sebuah institusi pendidikan Teknikal dan Vokasional untuk anak-anak Betong khasnya dan Sarawak amnya. Semoga sekolah ini juga terus utuh dalam melahirkan generasi baru yang dapat menjadi pemimpin negara dalam pelbagai bidang pada masa akan datang.

 
%d bloggers like this: